Kursus Penulisan Laporan Pengurusan Kes Kerja Sosial Siri 2 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia 28 Julai 2022 Makmal Komputer, Aras 17, Ibu Pejabat JKM, Putrajaya.
Dr Chan Cheong Chong (UUM Kampus Kuala Lumpur), selaku Penasihat Program Penyeliaan Kerja Sosial JKM Tahun 2021 telah dijemput untuk mengendalikan latihan siri keempat yang bertajuk “Kursus Penulisan Laporan Pengurusan Kes Kerja Sosial Siri 2” pada 28 Julai 2022. Kursus ini adalah satu-satunya latihan dalam program penyeliaan kerja sosial yang bermula sejak tahun 2021 yang dikendalikan secara fizikal di ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Putrajaya.
Kesemua tulisan kes kerja sosial yang dihasilkan oleh pengetua-pengetua Asrama Akhlak dan ketua-ketua unit kanak-kanak JKM di peringkat negeri di dalam platform Google Docs telah pun disemak oleh Dr Chan sebelum bermulanya kursus ini. Oleh itu, pada hari kejadian, Dr Chan telah memberi maklumbalas umum dan komen yang khusus terhadap setiap kes yang telah dihasilkan.
Kursus secara fizikal ini telah berlangsung di Makmal Komputer di mana kali pertamanya para peserta kursus menulis dan memperbaiki kes masing-masing di bawah bimbingan Dr. Chan. Di akhir kursus ini, sebanyak 14 kes kerja sosial yang berkaitan dengan institusi pemulihan akhlak kanak-kanak telah berjaya dihasilkan. Namun, penyuntingan dan pengemaskinian masih diteruskan dengan pemantauan dan semakan Dr Chan selepas habisnya kursus ini. Pihak urusetia yang diketuai oleh Puan Shazlin Adila binti Mohd Salleh, Penolong Pengarah Kanan, JKM Malaysia berharap kesemua kes ini dapat diterbitkan untuk kegunaan pendidikan kerja sosial khasnya kepada kakitangan JKM yang baru melaporkan diri agar mereka dapat mempelajari pengalaman dan pengetahuan yang berguna dalam pengurusan kes kerja sosial.