UUMKL TERIMA 125 PELAJAR BAHARU

uumkl new intake dc222

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kemasukan seramai 125 pelajar baharu untuk melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) bagi Semester DC222 (Januari) Sesi 2022/2023.

Daripada jumlah itu, 14 orang merupakan pelajar antarabangsa dari Bangladesh, Nigeria, Somalia, China, Palestin, Republik Gambia, Filipina dan Ghana.

Sesi pendaftaran pelajar telah diadakan secara hibrid yang mana 95 daripadanya hadir secara bersemuka di UUMKL, manakala selebihnya secara atas talian.

Pelajar diberikan taklimat tentang cara pengaktifan portal pelajar, taklimat perpustakaan dan taklimat akademik oleh Dekan Akademik, Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil.

Selain itu, mereka juga didedahkan dengan tatacara mengakses portal dan tatacara pendaftaran kursus secara atas talian.

Sementara itu, Provos UUMKL, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih dan menyeru pelajar agar bersama-sama dengan barisan pentadbiran kampus itu dalam memastikan kecemerlangan akademik selari dengan visi dan misi UUM.

Katanya, beliau akan memastikan pelajar mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh pengajian di UUMKL.