English Arabic Malay
Text Size

News & Events - UUM : PJJ

UUM : PJJ Beri Peluang Pekerja Baiki Diri

Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) adalah program yang memberi peluang kepada golongan bekerjaya meneruskan pengajian sambil bekerja bagi meningkatkan taraf pendidikan dan mencapai kelulusan yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ditubuhkan pada 1 April 1999, mengambil tanggungjawab menyediakan peluang untuk warganegara Malaysia memperbaiki kualiti hidup melalui peningkatan pendidikan yang lebih tinggi.

PACE bertanggungjawab mengendalikan program melalui mod Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang sentiasa memenuhi keperluan pasaran semasa dengan membantu golongan bekerjaya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selaras dengan congan kata, ‘Gerbang Pendidikan Berterusan’.

Selaras dengan itu, tiga program baharu diperkenalkan tahun ini iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian [BMA (Hons)], Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan Kepujian [BIFB (Hons)] dan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian [BCIM (Hons)].

Pengarah PACE, Dr. Fairol Halim berkata, dua program baharu berkaitan perniagaan dan perbankan Islam itu ditawarkan berikutan terdapat potensi besar dalam pasaran insurans dan industri kewangan Islam.

Menurut Fairol, pada kemasukan Semester Oktober 2015/2016 sebanyak 25 pelajar baharu kohort pertama mengikuti program Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan Kepujian [BIFB (Hons)] melibatkan 25 kakitangan Bank Rakyat. Kuliah diadakan di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Fairol berkata, antara 27 pelajar pengambilan pertama bagi program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian [BCIM (Hons)] secara separuh masa ialah penggiat seni tanah air, Hazama, Tomok, Aril AF7, Taja (Meet Uncle Hussein), Pekin Ibrahim, Fattah Amin, Fiffy Natasya dan Adibah Yunus.

Semester pengajian untuk program PJJ adalah pada bulan Januari, April, Julai dan Oktober pada setiap tahun dan tempoh pengajian bagi setiap semester adalah selama enam bulan.

Empat program lain yang turut ditawarkan termasuk Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian [BPM (Hons)], Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian [BBA (Hons)], Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian [BComm (Hons)] dan Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans dengan Kepujian [BRMI (Hons)].

Katanya, semua warganegara Malaysia berhak mendapat akses kepada pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tujuan meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.

“Program PJJ ini sebenarnya memberi peluang kedua kepada kakitangan kerajaan dan swasta untuk melanjutkan pelajaran dengan tujuan menambah gaji / pendapatan, berpeluang dinaikkan pangkat di tempat kerja dan seterusnya memperbaiki status dalam kalangan masyarakat.

“Kebanyakan pekerja yang mengikuti PJJ ini tidak mempunyai masalah kewangan tetapi kekangan waktu kerana mereka bukan sahaja sebagai pekerja malah pelajar, dan pada masa yang sama menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebahagian daripada mereka yang mengikuti PJJ jelas Fairol, hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berada pada tangga gaji maksimum dan tidak berpeluang untuk dinaikkan pangkat setelah sekian lama bekerja.

Bagi tujuan meningkatkan diri katanya, kerajaan memberi peluang seluas-luasnya kepada semua warganegara termasuk kakitangan kerajaan sama ada melanjutkan pelajaran sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau mengikuti PJJ.

Mengenai modul dalam program PJJ, Fairol berkata, pelajar akan bersemuka dengan pensyarah sekali dalam sebulan kerana dalam proses pembelajaran, komunikasi secara dua hala adalah penting bagi membantu pelajar mendapat penerangan tambahan daripda pensyarah.

Menurut beliau, pihak UUM masih menggunakan kaedah bersemuka tetapi pada masa yang sama sebanyak 10 peratus bahan pengajaran disalurkan secara online. Kaedah itu sehingga hari ini masih digunakan berikutan capaian Internet adalah rendah di Sabah dah Sarawak berbanding di Semenanjung.

Bagaimanapun katanya, proses transformasi dalam pembelajaran pasti akan berlaku di mana sebanyak 50 peratus akan menggunakan kaedah online. Kini, UUM sudah mula menggunakan video dalam online untuk memudahkan pembelajaran.

Menurutnya, jika pihak universiti tidak mengikut peredaran teknologi, dikhuatiri kaedah pembelajaran PJJ yang diguna pakai hari ini menjadi tidak releven di masa akan datang.

Sementara itu sejak 11 tahun yang lalu. UUM telah berjaya melahirkan sejumlah 5,000 graduan melalui program PJJ.

 

 13 BUAH PUSAT PEMBELAJARAN PACE DI SELURUH MALAYSIA ADALAH SEPERTI BERIKUT

  1. Pusat UUM Sintok
  2. Pusat Kuala Lumpur (UUM Kuala Lumpur)
  3. Pusat Johor Bharu
  4. Pusat Kota Bharu (Politeknik Kota Bharu)
  5. Pusat Melaka (Universiti Teknologi Malaysia Melaka)
  6. Pusat Ipoh (Ploteknik Ungku Omar)
  7. Pusat ETIQA
  8. Pusat Seberang Perai (Politeknik Seberang Perai)
  9. Pusat Kuantan (Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah)
  10. Pusat Sibu (Rimbunan Hijau Academy)
  11. Pusat Kuching (ICATS West Campus)
  12. Pusat Kota Kinabalu (Universiti Malaysia Sabah)
  13. Pusat Yayasan Bank Rakyat, Kuala Lumpur